[Video]'Saya akan terus jaga anak selagi saya bernyawa'
KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.
Begitulah pengorbanan seorang bapa tunggal yang mengurus dan menjaga keperluan anak perempuannya yang lumpuh berikutan komplikasi darah tinggi dihidapi sejak empat bulan lalu.
Ismail Salleh, 60, berkata, anaknya, Siti Noor Shahada, 31, lumpuh bahagian kiri badan sekali gus menyebabkan dia hilang upaya untuk berjalan dengan sempurna dan perlu bergantung kepada orang sekeliling mahupun bantuan tongkat untuk bangun atau bergerak.
Katanya, anak sulung daripada dua beradik itu tidak mempunyai masalah kesihatan sebelum ini, namun pada Jun lalu, Shahada secara tiba-tiba mengalami kekejangan saraf ketika bangun tidur.
"Bimbang dengan keadaan itu, saya membawanya mendapatkan rawatan di klinik berhampiran dan doktor mengesahkan dia menghidap darah tinggi selain kandungan kolestrol tinggi.
"Sejak itu, dia bergantung kepada ubat-ubatan. Selain itu, saya juga mengambil inisiatif membawa Siti Nur Shahada ke klinik yang boleh merawatnya.
"Alhamdulillah, kini Siti Nur Shahada mampu berdiri dan berjalan menggunakan tongkat berbanding hanya terbaring sebelum ini," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Tok Dokang, Banggol, Pantai Cahaya Bulan di sini, semalam.
Ismail berkata, sebelum Siti Noor Shahada sakit, wanita itu bekerja sebagai pembantu di kedai makan dengan upah RM35 sehari untuk menampung perbelanjaan sekeluarga.
"Sejak Siti Nur Shahada sakit, tanggungjawab saya menjadi lebih besar dan perlu mencari rezeki sendirian untuk menampung hidup kami.
"Saya juga perlu memperuntukkan RM500 untuk keperluan Shahada termasuk lampin pakai buang dan ubat-ubatan," katanya.
Menurut Ismail, dia hanya melakukan kerja selain buruh dengan pendapatan RM700 hingga RM1,000 sebulan.
"Tidak kisahlah jika kami makan ala kadar sahaja seperti biskut dicicah air untuk mengalas perut asalkan tidak berhutang atau menyusahkan sesiapa," katanya.
Menurut Ismail, selepas isterinya, Ma Kelsom Samah meninggal dunia tiga tahun lalu akibat barah otak, dua anaknya itu menjadi kekuatannya untuk meneruskan kelangsungan hidup.
"Selagi saya masih bernafas, saya akan terus cuba menjadi bapa terbaik, hanya mereka 'harta' saya di dunia," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Ismail di talian 011-16584084.
Baca Juga : Kcelakaan di tol km 66 jakarta – merak pagi tadi

